Parenting Si Cilik

Ini antara 5 makanan sunnah untuk bayi 2 tahun ke bawah

Ini antara 5 makanan sunnah untuk bayi 2 tahun ke bawah

Pemakanan memainkan peranan penting dalam tumbesaran dan perkembangan bayi, terutama dalam dua tahun pertama kehidupan. Ia satu fasa yang sering disebut sebagai “the golden window” dalam dunia pediatrik.

Pada masa inilah otak berkembang pesat, sistem imun diperkukuh, dan asas kesihatan jangka panjang dibina. Dalam konteks Islam, makanan bukan sekadar keperluan fizikal, tetapi juga menjadi salah satu cara untuk mendidik jiwa dan menanam keberkatan sejak kecil.

Kenapa penting 2 tahun pertama?

Menurut UNICEF dan WHO, 1000 hari pertama (dari hamil hingga anak berumur 2 tahun) sangat penting untuk tumbesaran dan kesihatan kerana hampir 45% kematian kanak-kanak bawah 5 tahun berpunca daripada kekurangan zat makanan.

Pemakanan yang baik sejak awal boleh membantu untuk mengelak penyakit, risiko lambat membesar dan masalah pembelajaran.

Ini antara makanan sunnah yang selamat, berkhasiat dan boleh diperkenalkan secara bertahap mengikut umur dan keperluan bayi:

1. Minyak Zaitun (Zaitun)


“Makanlah minyak zaitun dan sapulah dengannya, kerana sesungguhnya ia berasal dari pohon yang diberkati.”
(HR Tirmidzi)

Buah zaitun telah disebut sebanyak 7 kali di dalam Al-Quran dan ini menunjukkan buah ini mempunyai banyak manfaatnya. Minyak zaitun kaya dengan lemak sihat yang bantu perkembangan otak dan saraf bayi. Boleh campur sedikit ke dalam bubur atau puri selepas dimasak.

Tip: Guna extra virgin olive oil dan elakkan masak pada suhu tinggi.

2. Kurma

Saad bin Abi Waqqas meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda :
“Sesiapa yang memakan pada waktu pagi tujuh biji kurma, yang ditanam antara dua bebatuan hitam, tidak akan memberi mudarat kepadanya sebarang racun sehinggalah petang.” [HR Muslim (2047)]

Kurma kaya dengan zat besi dan serat. Untuk bayi 6 bulan ke atas, boleh dijadikan puri sebagai pemanis semula jadi.

Tip: Pilih kurma ajwa atau segar. Rendam dan kisar halus. Elak beri secara ketul kerana risiko tercekik.

3. Madu (Untuk bayi 1 tahun ke atas sahaja)

“…(Dengan itu) akan keluarlah dari dalam badannya minuman (madu) yang berlainan warnanya, yang mengandungi penawar bagi manusia (dari berbagai-bagai penyakit)..” (Surah An-Nahl: 69)

Madu baik untuk imun, tapi jangan beri pada bayi bawah 1 tahun kerana risiko botulisme.

Tip: Selepas umur 1 tahun, madu boleh jadi pemanis semula jadi untuk bubur atau minuman suam.

4. Anggur

Anggur juga ada disebut dalam Al-Qur’an sebagai buah syurga. Antara surah yang menyebut tentang anggur adalah dalam Surah Al-Baqarah ayat :266. Buah anggur juga kaya dengan vitamin C dan antioksidan.

Tip: Potong kecil, buang biji & kulit untuk elak bayi tercekik.

5. Susu Kambing (Selepas 1 tahun)


Rasulullah SAW juga meminum susu kambing. Ia lebih mudah hadam bagi sesetengah anak. Malah susu kambing juga membantu untuk perkembangan otak dan mempunyai kalsium yang tinggi serta baik untuk jantung.


Tip: Boleh cuba lepas umur 1 tahun. Pastikan anak cukup zat lain sebab susu kambing rendah zat besi.

Makanan sunnah bukan saja berkhasiat, tapi juga penuh keberkatan. 

Ibu ayah digalakkan untuk memperkenalkan makanan sunnah secara berperingkat, mengikut usia dan keperluan anak. Mulakan dari dapur sendiri dan ini akan menjadikan setiap suapan yang diberi menjadi amal soleh di sisi Allah.

Kalau ibu ayah ada resipi menarik guna bahan sunnah, jom kongsikan di ruangan komen! Mungkin boleh jadi inspirasi untuk yang lain juga!

About Author

Farah Durioo

Saya seorang ibu yang percaya setiap anak adalah amanah, dan setiap momen berharga untuk menanam values yang membentuk jiwa mereka. Di blog ini, saya kongsikan inspirasi untuk ibu bapa membesarkan anak dengan hati tenang, akal bijak, dan jiwa beriman.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *