Emosi Ibu Ayah

Susahnya nak kembali bekerja selepas cuti bersalin– Ini realitinya

Susahnya nak kembali bekerja selepas cuti bersalin– Ini realitinya

Kembali bekerja selepas cuti bersalin bukan hal mudah. Ia penuh dengan emosi dan perasaan rindu, cemas dan letih. Fizikal di pejabat, hati tertinggal bersama anak. Ramai ibu rasa bersalah atau tidak cukup masa, tenaga dan rehat.

Namun, Islam mengajar kita melihat peranan ini sebagai ibadah. Bila diniatkan kerana Allah, setiap langkah ibu bekerja adalah jalan mencari redha dan keberkatan.

Antara tips yang boleh bantu para ibu bersemangat untuk kembali bekerja:

1. Betulkan niat, minta keberkatan.


Sebelum melangkah keluar rumah, tenangkan hati dan betulkan niat:

 “Ya Allah, aku bekerja bukan sekadar untuk mencari pendapatan, tapi untuk menjalankan amanah dan mencari rezeki yang halal, demi masa depan anak-anak dan keluarga.”

Niat yang betul akan menjadi sumber kekuatan di saat emosi tidak stabil, dan menjadi pengingat bahawa apa yang kita buat hari ini adalah sebahagian dari ibadah, bukan sekadar rutin harian.

2. Mulakan pagi dengan doa & pelukan.

Sebelum keluar bekerja, luangkan sedikit masa untuk memeluk anak dan membaca doa perlindungan seperti Surah Al-Fatihah, Ayat Kursi dan doa yang diajar oleh Nabi Muhammad SAW:

Pelukan seorang ibu memberikan rasa selamat dan disayangi kepada anak, malah pada menenangkan hati si ibu sendiri. Ia seperti rutin kecil, tapi sangat besar maknanya.

3. Komunikasi & jadual fleksibel.


Luangkan masa untuk berbincang dengan pasangan tentang apa yang boleh dikongsi dan dibantu. Begitu juga dengan majikan, terutamanya berkaitan jadual pam susu, waktu rehat dan keperluan ibu yang baru kembali bekerja.

Susun tugasan rumah ikut keupayaan, bukan tekanan. Jangan takut untuk minta tolong atau berehat seketika bila perlu. Jadual yang fleksibel akan bantu ibu kekal waras dan bertenaga.

4. Masa eksklusif dengan anak.


Walaupun penat, cuba luangkan 10–15 minit bersama anak tanpa gajet. Tak perlu lama, tapi pastikan betul-betul fokus.

Boleh bercerita kisah Nabi, peluk mereka, atau tanya tentang hari mereka. Anak tak perlukan masa yang banyak. Cukup dengan kehadiran ibu ayah yang betul-betul ada dengan mereka.

Masa yang singkat tapi berkualiti ini akan jadi kenangan manis untuk mereka.

5. Penat itu sementara, ganjaran Allah selamanya.



Firman Allah dalam Surah Al-Insyirah: ayat 6 :  “Sesungguhnya bersama kesusahan ada kemudahan.”

Penat bekerja dan mengurus anak itu tak sia-sia. Kalau diniatkan kerana Allah, setiap peluh, air mata dan usaha akan diberi ganjaran. Ingat, ibu kuat kerana Allah bersama.


Jadi ibu bekerja memang tak mudah, tapi sangat mulia. Yang penting, jangan paksa diri untuk jadi “sempurna”.

Cukuplah jadi ibu yang terus berusaha untuk memberikan yang terbaik untuk keluarga dan kerja serta tahu bila perlu berhenti sejenak untuk jaga diri. Ibu yang berasa tenang, akan lebih mudah membesarkan anak yang juga tenang.


Walaupun untuk bekerja mungkin menjadi pilihan ibu sendiri , namun ianya memerlukan kekuatan yang tinggi. Semoga ibu-ibu terus kuat dan semoga setiap langkah di rumah atau di tempat kerja  membawa kita dan keluarga lebih dekat dengan syurga. 

About Author

Farah Durioo

Saya seorang ibu yang percaya setiap anak adalah amanah, dan setiap momen berharga untuk menanam values yang membentuk jiwa mereka. Di blog ini, saya kongsikan inspirasi untuk ibu bapa membesarkan anak dengan hati tenang, akal bijak, dan jiwa beriman.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *