Bila bayi masuk umur 6 bulan, ramai ibu ayah mula teruja nak perkenalkan makanan pejal pertama. Tapi tak kurang juga yang keliru , nak mula dengan apa? Bubur kosong? Atau terus beri buah? Yang mana satu sesuai untuk beri dulu ?
Hakikatnya, ramai ibu ayah tanpa sedar memberi makanan yang terlalu berat atau kurang sesuai untuk sistem penghadaman bayi yang baru berkembang. Jadi, penting untuk kita tahu asas yang betul, supaya permulaan makan anak menjadi pengalaman yang menyeronokkan dan bukan menakutkan.
Apa makanan pertama Terbaik?
Jawapan mudahnya, makanan yang ringkas, satu bahan dan mudah dihadam.
Organisasi Kesihatan Dunia (WHO) mengesyorkan memulakan dengan makanan puri yang lembut, tanpa gula dan garam. Antara pilihan terbaik ialah:
Puri labu – kaya dengan vitamin A, lembut dan manis semula jadi.
Puri lobak merah – bantu penglihatan dan baik untuk kulit.
Puri ubi kentang – sumber tenaga yang mudah dihadam.
Puri pisang – senang disediakan dan tinggi potasium.
Ibu ayah boleh mula memberi dengan satu jenis makanan dulu selama 3 hari berturut-turut (rule of 3), untuk pastikan tiada alahan. Sekiranya anak-anak tidak menunjukkan sebarang reaksi alergi, ibu ayah boleh menggunakan bahan tersebut pada masa akan datang.
Ini antara resepi mudah yang ibu ayah boleh buat di rumah sebagai makanan pertama bayi 6 bulan:
Puri Labu Manis
Bahan-bahan:
Sedikit labu manis (potong kecil)
Air secukupnya
Cara:
- Kukus labu hingga lembut (lebih kurang 15 minit).
- Lenyek atau kisar bersama sedikit air kukusan/ atau boleh dicampur dengan susu ibu (lebih baik untuk bayi kan?)
- Sejukkan sebelum diberi kepada bayi.
Tip: Gunakan sudu silikon kecil dan berikan secara perlahan. Lihat respon anak dahulu.
Ibu ayah boleh jadikan waktu makan sebagai masa untuk bonding. Senyum, bercakap lembut, dan beri galakan kepada anak. Jangan stress dan belajar untuk sabar jika anak tolak makanan. Ini kan pertama kali anak merasa sesuatu yang lain dari sebelumnya, jadi ini proses belajar untuk mereka.
Ibu ayah juga boleh menyimpan lebihan puri dalam bekas kecil dan sejukkan (boleh tahan 3 hari dalam peti ais). Lebih jimat masa untuk masak kan?
Yang paling penting, Jangan bandingkan dengan anak orang lain – setiap bayi unik dan berbeza selera.
Semoga permulaan makan anak menjadi saat yang manis dan mudah buat ibu ayah sekeluarga. Kalau ibu ayah ada ada resipi atau pendapat lain, jangan lupa kongsikan di ruang komen ya!