‘Screen time’ anak – Bila dan berapa lama?
Di era digital ini, gajet menjadi sebahagian daripada kehidupan seharian, bukan sahaja untuk orang dewasa, malah anak-anak kecil turut terdedah kepada skrin sejak usia yang sangat muda.
Persoalannya, berapa lama masa yang sesuai untuk kanak-kanak menghadap skrin? Dan bilakah waktu yang sesuai untuk mereka diberi akses kepada peranti seperti telefon, tablet atau televisyen?
Berikut ialah garis panduan masa skrin yang disarankan oleh World Health Organization (WHO) dan American Academy of Pediatrics (AAP), yang boleh dijadikan rujukan oleh ibu ayah:
Bayi di bawah usia 2 tahun:

Tidak digalakkan langsung terdedah kepada skrin, kecuali untuk video call bersama ahli keluarga. Pada usia ini, perkembangan otak bayi sangat pesat dan lebih banyak dipengaruhi oleh interaksi secara langsung seperti sentuhan, suara ibu ayah, serta permainan fizikal dan deria.
Kanak-kanak 2–5 tahun:
Dihadkan kepada maksimum 1 jam sehari. Kandungan mestilah berkualiti, sesuai dengan usia, dan ditonton bersama ibu ayah pengawasan ini penting supaya ibu ayah dapat menjelaskan, menambah nilai, dan membimbing anak untuk memahami apa yang mereka lihat.
Kanak-kanak 6 tahun ke atas:
Tiada had masa yang spesifik, tetapi ibu ayah perlu memastikan keseimbangan antara masa skrin dengan aktiviti lain seperti tidur yang cukup, aktiviti fizikal, masa bersama keluarga dan interaksi sosial. Penetapan jadual, waktu tanpa gajet, dan rehat skrin secara berkala sangat digalakkan.

Kajian juga menunjukkan, kanak-kanak yang terlalu lama dengan skrin (melebihi 2 jam sehari) berisiko menghadapi masalah seperti:
- Gangguan tumpuan dan emosi
- Kelewatan dalam perkembangan bahasa
- Gangguan tidur
- Kurangnya interaksi sosial
Di Malaysia, laporan Internet Users Survey 2023 oleh MCMC menunjukkan bahawa lebih 87% kanak-kanak berusia 5–17 tahun menggunakan internet setiap hari, dan hampir separuh daripada mereka menghabiskan 2–5 jam di skrin.
Ini bukan sekadar isu rutin harian, tetapi satu keputusan yang mempengaruhi perkembangan kognitif, emosi dan spiritual anak-anak. Maka, ibu ayah perlu membuat pertimbangan yang bijaksana dan berlandaskan ilmu.
Ibu ayah ada tips atau pengalaman bagaimana mengawal ‘screen time’ anak-anak di rumah? Kongsikan bersama kami di ruangan komen — mana tahu boleh bantu ibu ayah yang lain juga!